Categories
Briefings

Senarai Portal Pembelajaran Maya Percuma untuk Pelajar dan Ibu Bapa sepanjang PKP

Wabak COVID-19 bukan sahaja mengubah gaya hidup kita, malahan turut mengubah gaya pembelajaran yang kita lazim. Dianggarkan lebih daripada 300 juta pelajar sekolah dan universiti di seluruh dunia terpaksa mendepani hakikat cabaran ini, lantaran arahan penutupan premis dan larangan pergerakan. Semenjak pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac yang lalu, para pelajar, guru dan pensyarah seolah-olah hilang punca seketika untuk mengubah yang lazim, dari pembelajaran di dalam kelas kepada pembelajaran secara maya.

Kita terpaksa menerima hakikat, walaupun secara berdikit, untuk mengadaptasi realiti wabak COVID-19, bermula sekarang sehinggalah ke suatu masa nanti bilamana WHO mengumumkan vaksin untuk wabak ini telah berjaya ditemui.

Berita baiknya, terdapat beberapa sumber perkhidmatan pembelajaran maya yang boleh dimanfaatkan secara percuma oleh pelajar dan ibu bapa di rumah, sementara menanti sesi persekolahan dibuka semula. Dalam senarai ini, terdapat di antaranya tawaran perkhidmatan percuma, dan terdapat sebahagiannya perlu dibayar.

Sebagai ibu bapa yang akan meluangkan masa sepanjang PKP bersama anak-anak dalam tempoh yang tidak dapat dijangka pengakhirannya, senarai portal pembelajaran maya percuma berikut adalah suatu anugerah yang tidak ternilai untuk dimanfaatkan bersama.

EduwebTV — Portal ini merupakan inisiatif utama dari Kementerian Pendidikan Malaysia yang memperkenalkan pengisian pembelajaran maya menerusi video-video di YouTube bermula dari Prasekolah sehinggalah ke Tingkatan 5.

PANDAI — Merupakan sebuah aplikasi yang direka khas untuk membantu pembelajaran secara on-the-go. Aplikasi PANDAI mengandungi sukatan pelajaran sekolah rendah dan menengah. Pelajar boleh memilih mana-mana subjek untuk dijawab, pantau perkembangan dan kumpul mata ganjaran. Menariknya, aplikasi ini boleh dimuat turun dari Google Play dan Apple App Store secara percuma. PANDAI menyediakan soalan setiap hari kepada pelajar mengikut tahap dan subjek yang dipilih. Semua soalan yang dikeluarkan adalah berbentuk kuiz dan pelajar boleh terus menjawab. Selesai menjawab, pelajar boleh terus melihat markah dan penerangan jawapan sekali gus dapat menilai prestasi semasa mereka.

YouTube Learning — Menerusi portal ini, YouTube telah mempermudahkan ibu bapa dan guru dengan menghimpunkan hampir keseluruhan pengisian berbentuk pendidikan mengikut subjek dan minat. Saluran-saluran popular seperti Khan Academy, TED Talk, HISTORY, National Geographic, Veritasium, dan pelbagai lagi boleh diakses dengan mudah dan pengisiannya disusun cantik mengikut tahap dan keperluan pelajar.

Anda perlukan tutor untuk anak anda? Biar kami carikan untuk anda.

Khan Academy — Barangkalinya, semua maklum akan portal ini. Sama seperti EduwebTV yang menggunakan YouTube sebagai medium utama untuk pengisiannya, Khan Academy boleh dicapai secara percuma dan memenuhi hampir kesemua subjek yang diajarkan di sekolah (walaupun sukatan pelajarannya mengikut piawai Amerika Syarikat). Cuma sayang sedikit, Khan Academy masih belum boleh diakses dalam Bahasa Melayu buat masa ini. Namun begitu, hampir keseluruhan video pembelajarannya mempunyai sari kata Bahasa Melayu.

Prodigy Math — Portal ini menawarkan pembelajaran matematik dalam talian menggunakan permainan video yang menyeronokkan. Pelajar boleh mencipta watak yang mereka gemari dan menggunakannya untuk menyelesaikan permasalahan matematik di setiap tahap, bermula dari cabaran yang mudah sehinggalah ke tahap yang lebih mencabar. Portal ini turut ditawarkan dalam versi berbayar, untuk beberapa fungsi dan kelebihan yang sedikit berbeza.

Duolingo — Jika anak-anak anda berminat untuk mempelajari bahasa asing sementara mengisi masa lapang sewaktu PKP, portal ini memberi peluang pembelajaran bahasa secara percuma untuk lebih dari 30 pilihan bahasa.

The Royal Society’s Science at Home — Menerusi portal ini, ibu bapa dan anak-anak boleh memanfaatkan masa lapang untuk mencungkil minat kepada subjek sains dengan menjalankan aktiviti ujikaji sains yang menyeronokkan di rumah. Selain dari itu, portal ini turut menyediakan siri syarahan sains, permainan dan banyak lagi sumber pembelajaran yang menyeronokkan.

No Red Ink — Portal ini menawarkan pembelajaran Bahasa Inggeris, khususnya tatabahasa (grammar) dan penulisan (writing). Pelajar boleh memanfaatkan pengisian yang ditawarkan secara percuma menerusi portal ini untuk meningkatkan kemahiran menulis dalam Bahasa Inggeris. Untuk ibu bapa pula, portal ini memberi ruang kepada anda mencipta akaun “guru” untuk memantau prestasi anak anda.

Marginal Revolution University (MRU) — Anda dan anak anda berminat dengan isu-isu ekonomi? Portal ini merupakan antara sumber pembelajaran ekonomi maya secara percuma yang terbaik untuk kesemua tahap pengguna. Mungkin satu idea yang baik jika anda boleh mengikuti kelas-kelas ekonomi yang ditawarkan bersama-sama anak anda, untuk mengisi waktu lapang sepanjang PKP. Dan ya, para pengajarnya adalah pensyarah dari universiti terkemuka dunia.

EdX dan Coursera — Dua portal pembelajaran maya yang terkemuka ini boleh dimanfaatkan sepenuhnya sepanjang PKP, terutamanya para pelajar universiti dan lepasan SPM yang sedang menunggu keputusan UPU/panggilan kolej. Pengisiannya merupakan tahap pra-universiti dan universiti, antara lain merangkumi bidang sains komputer, kejuruteraan, robotik, kecerdasan buatan, data raya dan pelbagai lagi. Kata bijak pandai, tepuk dada tanya selera.

Academic Earth — Portal ini mengumpulkan sejumlah besar kuliah-kuliah utama dari universiti terkemuka dunia seperti Harvard, MIT, Yale secara percuma merangkumi pelbagai bidang pengajian.

Alison — Menerusi portal ini, hampir 1500 kursus boleh diakses secara percuma dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Melayu. Jika anda mahu meningkatkan kemahiran penggunaan Microsoft Excel, sebagai contoh, Alison merupakan portal yang tepat untuk tujuan tersebut.

Dunia Luar Talian

Untuk para ibu bapa, adalah diingatkan juga dalam pada kita begitu memberi tumpuan kepada pembelajaran maya demi memastikan anak-anak tidak ketinggalan dalam pelajaran mereka sewaktu PKP, harus kita juga perlu menitik berat pembelajaran di luar talian. Ciptakan aktiviti bersama, contohnya sesi pembacaan buku, permainan tradisional, kelas masakan dan pelbagai lagi—kata kuncinya, ibu bapa perlu kreatif. Masa terluang begini adalah peluang untuk “reconnect” dengan anak-anak kita yang mungkin selama ini, terabai akibat kesibukan masing-masing dengan urusan seharian.

1 reply on “Senarai Portal Pembelajaran Maya Percuma untuk Pelajar dan Ibu Bapa sepanjang PKP”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.